Sabtu, 29 Januari 2011

Kajian tentang Sanad Hadis Ke-7358 dalam Musnad Ahmad


اللهُمَّ لَا تَجْعَلْ قَبْرِي وَثَنًا لَعَنَ اللهُ قَوْمًا اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

Terjemahan: ya Allah, janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala. Semoga Allah melaknat golongan yang menjadikan kubur-kubur nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadat. [Diriwayatkan oleh Ahmad (7358)]
a
Kata al-Syaikh al-Albani: diriwayatkan oleh Ahmad (7352), Ibnu Sa'ad (2/241-242), al-Mufadhdhal al-Janadi dalam Fadha'il al-Madinah (1/66), Abu Ya'la dalam Musnadnya (1/312), al-Humaidi (1025), dan Abu Nu'aim dalam al-Hilyah (6/283, 7/317) dengan sanad yang sahih.

Hadis ini mempunyai syahid mursal yang diriwayatkan oleh 'Abd al-Razzaq dalam al-Mushannaf (1/406/1578) dan begitu juga oleh Ibnu Abi Syaibah (4/141) daripada Zaid bin Aslam. Isnadnya qawi.
a
Selain itu, (syahid) juga dikeluarkan oleh Malik dalam al-Muwaththa' (1/185) dan dikeluarkan juga oleh Ibnu Sa'ad (2/240 dan 241) daripadanya daripada 'Atha' bin Yasar secara marfu' dan sanadnya adalah sahih. Al-Bazzar telah menyambungkannya daripadanya daripada Abu Sa'id al-Khudri. Ibnu 'Abd al-Barr telah mensahihkannya secara mursal atau maushul lalu katanya "maka hadis ini adalah sahih di sisi orang yang menerima marasil al-tsiqat, dan di sisi orang yang menerima musnad kerana diisnadkan oleh 'Umar bin Muhammad sedangkan ia antara yang diterima ziyadahnya. Lihat Tanwir al-Hawalik oleh al-Sayuthi.
a
Dan apa yang dikatakan oleh Ibnu 'Abd al-Barr tentang 'Umar ada yang tidak kena kerana al-Hafidzh Ibnu Rajab telah mengatakan dalam al-Fath: al-Bazzar yang mengeluarkannya melalui jalannya. 'Umar ini adalah Ibnu Shuhban yang ditulis dengan nisbah (al-'Umari bukan 'Umar; al-Kutawi) dalam sesetengah naskah al-Bazzar dan Ibnu 'Abd al-Barr menyangka bahawa beliau adalah 'Umar bin Muhammad al-'Umari. Yang jelasnya, ini adalah waham. Dan telah dikeluarkan seumpamanya dari hadis Abu Salamah daripada Abu Hurairah dengan isnad fih nadzhar. [Tahdzir al-Sajid min Ittikhadz al-Qubur Masajid oleh al-Albani, Maktabah al-Ma'arif, . cet. pertama 1422 H, hal. 25]
a
Kata al-Syaikh Syu'aib al-Arna'uth dan penyemak-penyemak Musnad Ahmad tentang hadis ini: isnadnya qawi. Hamzah bin al-Mughirah ialah Ibnu Nasyith al-Makhzumi al-Kufi. Kata Ibnu Ma'in "laisa bih ba's" dan Ibnu Hibban menyebutnya dalam al-Tsiqat. Rawi-rawi yang selebihnya adalah rawi-rawi al-Shahih (al-Bukhari dan Muslim; al-Kutawi). [Musnad Ahmad, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.35, jil. 12, hal. 314]
a
Al-Syaikh Ahmad Syakir juga mensahihkan hadis ini seperti yang disandarkan oleh laman sesawang al-Durar al-Saniyyah.
a
Kesimpulannya berdasarkan kata-kata al-Syaikh al-Albani, Syu'aib al-Arna'uth, dan Ahmad Syakir, hadis ini maqbul; antara sahih dan hasan.
a
Tanpa memanjangkan kalam, ingin kami nasihatkan, bersama-samalah kita berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah shallahu'alaihiwasallam dengan tidak menjadikan kuburan sebagai tempat sujud walaupun kubur itu adalah makam sahabat yang syahid dalam perang Mu'tah. Usah berdalih dengan Masjid Nabawi kerana masjid tersebut terpaksa diluaskan sehingga terpaksa memasukkan makam Rasulullah shallahu'alaihiwasallam ke dalam masjid kerana dharurah perluasan masjid disebabkan pertambahan bilangan kaum Muslimin. Bukankah al-dharurat tubih al-mahdzhurat?!
a
Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan