Sabtu, 29 Januari 2011

Kajian tentang Sanad Hadis Ke-7358 dalam Musnad Ahmad


اللهُمَّ لَا تَجْعَلْ قَبْرِي وَثَنًا لَعَنَ اللهُ قَوْمًا اتَّخَذُوا قُبُورَ أَنْبِيَائِهِمْ مَسَاجِدَ

Terjemahan: ya Allah, janganlah Engkau jadikan kuburku sebagai berhala. Semoga Allah melaknat golongan yang menjadikan kubur-kubur nabi-nabi mereka sebagai tempat ibadat. [Diriwayatkan oleh Ahmad (7358)]
a
Kata al-Syaikh al-Albani: diriwayatkan oleh Ahmad (7352), Ibnu Sa'ad (2/241-242), al-Mufadhdhal al-Janadi dalam Fadha'il al-Madinah (1/66), Abu Ya'la dalam Musnadnya (1/312), al-Humaidi (1025), dan Abu Nu'aim dalam al-Hilyah (6/283, 7/317) dengan sanad yang sahih.

Hadis ini mempunyai syahid mursal yang diriwayatkan oleh 'Abd al-Razzaq dalam al-Mushannaf (1/406/1578) dan begitu juga oleh Ibnu Abi Syaibah (4/141) daripada Zaid bin Aslam. Isnadnya qawi.
a
Selain itu, (syahid) juga dikeluarkan oleh Malik dalam al-Muwaththa' (1/185) dan dikeluarkan juga oleh Ibnu Sa'ad (2/240 dan 241) daripadanya daripada 'Atha' bin Yasar secara marfu' dan sanadnya adalah sahih. Al-Bazzar telah menyambungkannya daripadanya daripada Abu Sa'id al-Khudri. Ibnu 'Abd al-Barr telah mensahihkannya secara mursal atau maushul lalu katanya "maka hadis ini adalah sahih di sisi orang yang menerima marasil al-tsiqat, dan di sisi orang yang menerima musnad kerana diisnadkan oleh 'Umar bin Muhammad sedangkan ia antara yang diterima ziyadahnya. Lihat Tanwir al-Hawalik oleh al-Sayuthi.
a
Dan apa yang dikatakan oleh Ibnu 'Abd al-Barr tentang 'Umar ada yang tidak kena kerana al-Hafidzh Ibnu Rajab telah mengatakan dalam al-Fath: al-Bazzar yang mengeluarkannya melalui jalannya. 'Umar ini adalah Ibnu Shuhban yang ditulis dengan nisbah (al-'Umari bukan 'Umar; al-Kutawi) dalam sesetengah naskah al-Bazzar dan Ibnu 'Abd al-Barr menyangka bahawa beliau adalah 'Umar bin Muhammad al-'Umari. Yang jelasnya, ini adalah waham. Dan telah dikeluarkan seumpamanya dari hadis Abu Salamah daripada Abu Hurairah dengan isnad fih nadzhar. [Tahdzir al-Sajid min Ittikhadz al-Qubur Masajid oleh al-Albani, Maktabah al-Ma'arif, . cet. pertama 1422 H, hal. 25]
a
Kata al-Syaikh Syu'aib al-Arna'uth dan penyemak-penyemak Musnad Ahmad tentang hadis ini: isnadnya qawi. Hamzah bin al-Mughirah ialah Ibnu Nasyith al-Makhzumi al-Kufi. Kata Ibnu Ma'in "laisa bih ba's" dan Ibnu Hibban menyebutnya dalam al-Tsiqat. Rawi-rawi yang selebihnya adalah rawi-rawi al-Shahih (al-Bukhari dan Muslim; al-Kutawi). [Musnad Ahmad, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.35, jil. 12, hal. 314]
a
Al-Syaikh Ahmad Syakir juga mensahihkan hadis ini seperti yang disandarkan oleh laman sesawang al-Durar al-Saniyyah.
a
Kesimpulannya berdasarkan kata-kata al-Syaikh al-Albani, Syu'aib al-Arna'uth, dan Ahmad Syakir, hadis ini maqbul; antara sahih dan hasan.
a
Tanpa memanjangkan kalam, ingin kami nasihatkan, bersama-samalah kita berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah shallahu'alaihiwasallam dengan tidak menjadikan kuburan sebagai tempat sujud walaupun kubur itu adalah makam sahabat yang syahid dalam perang Mu'tah. Usah berdalih dengan Masjid Nabawi kerana masjid tersebut terpaksa diluaskan sehingga terpaksa memasukkan makam Rasulullah shallahu'alaihiwasallam ke dalam masjid kerana dharurah perluasan masjid disebabkan pertambahan bilangan kaum Muslimin. Bukankah al-dharurat tubih al-mahdzhurat?!
a
Wallahua'lam.

Selasa, 25 Januari 2011

Islam dan Facebook

Facebook adalah sebuah laman sosial yang bermanfaat. Tetapi, dalam masa yang sama telah mendatangkan banyak mudarat kepada pengguna-penggunanya. Oleh sebab itulah, terdapat segolongan ulama yang mengharamkan Facebook. Hal ini disebabkan mereka menilai Facebook sebagai satu perkara yang menyalahi manhaj hidup seorang Muslim.
a
Manhaj seorang Muslim adalah sentiasa berada dalam keadaan ber'ubudiyyah kepada Allah ta'ala dengan meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan sebagaimana yang terkandung dalam banyak ayat dalam kitab suci al-Quran. Antaranya ayat ketiga surah al-Mu'minun yang mafhumnya berbunyi: dan (orang-orang yang beriman itu) adalah orang-orang yang meninggalkan (اللغو: al-laghw) perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
a
Al-Imam Ibnu Katsir berkata: (daripada al-laghw) iaitu daripada perkara batil meliputi syirik -sebagaimana kata sebahagian ulama-, maksiat -sebagaimana kata ulama-ulama lain, dan kata-kata dan perbuatan yang tidak berfaedah. [Tafsir Ibnu Katsir, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.35, jil. 5, hal. 426]
a
Jika dinilai dengan akal yang waras lagi sejahtera, Facebook sudah tentu termasuk dalam perkara-perkara batil yang seharusnya ditinggalkan oleh seorang Muslim. Malah, Facebook telah banyak kali menyebabkan seseorang itu melewat-lewatkan solatnya tanpa keuzuran. Dalam keadaan ini, Facebook makin patut ditinggalkan.
a
Seorang Muslim seharusnya meninggalkan perkara-perkara yang menghalangnya daripada menjalani kehidupannya sebagai seorang hamba Allah. Orang-orang yang memilih jalan berfoya-foya dengan kehidupannya sebenarnya memilih jalan orang-orang yang fasik.
a
Dalam ayat keenam surah Luqman pula, Allah ta'ala menjelaskan (mafhumnya): dan dalam kalangan manusia terdapat orang yang membeli lahw al-hadits (لهو الحديث) untuk menyesatkan orang lain dari jalan Allah tanpa sebarang pengetahuan dan ia menjadikannya (jalan Allah) itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan mendapat azab yang menghinakan.
a
Para ulama salaf kebanyakannya menafsirkan lahw al-hadits di atas sebagai nyanyian dan muzik sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam artikel bertajuk Tafsiran Lahw Al-Hadits dalam Ayat Keenam Surah Luqman beralamat: http://alkutawi.blogspot.com/2010/12/tafsiran-lahw-al-hadits-dalam-ayat.html.
a
Benar, penafsiran mereka adalah benar. Tetapi, maksud lahw al-hadits di sini tidak seharusnya disempitkan kepada satu tafsiran mengikut asbab al-nuzul atau persekitaran semasa sahaja kerana ayat-ayat al-Quran seiring dengan zaman. Mungkin, kalau ulama-ulama besar dahulu tahu bahawa ada satu hiburan berbentuk Facebook, mereka akan mengingkarinya dan memasukkannya di bawah kesyumulan makna ayat ini.
a
Pada zaman dahulu, diriwayatkan terdapat orang-orang kafir yang ingin menjauhkan masyarakat Arab daripada dakwah Rasulullah shallahu'alaihiwasallam dengan memperkenalkan bahan-bahan hiburan. Pada zaman ini, orang-orang kafir juga menggunakan bahan-bahan hiburan untuk menyesatkan umat Islam seperti lagu, filem, novel, permainan, dan akhirnya Facebook!
a
Malangnya, umat Islam diperbodohkan oleh fatwa ulama-ulama yang hanya mengetahui fiqh tanpa mengetahui manhaj Islam. Jadi, mereka memberikan hukum harus kepada muzik, lagu, dan filem semata-mata kerana melihat kepada zat hiburan-hiburan itu tanpa melihat kepada kesyumulan manhaj Islam yang mengambil kira juga kesan dan implikasi hiburan itu terhadap ummah.
a
Pelanggaran Facebook bukan sahaja dengan manhaj 'ubudiyyah Islam malah turut membabitkan manhaj mu'amalat dan akhlaq. Antaranya, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan secaya maya -astaghfirullah li wa lakum- selain pendedahan aurat bi al-nisbah li al-nadzhar yang berleluasa. Pada masa yang sama, berfacebook bererti menyokong Facebook yang dicipta oleh seorang Yahudi.
a
Umat Islam sudah meninggalkan banyak ayat-ayat suci al-Quran dan hadis. Ada kalanya, mereka mengubah makna al-Quran dan hadis dengan takwilan-takwilan yang menyeleweng dan kali ini mereka tidak mengubah sehuruf pun maknanya kerana mereka sebenarnya bagaikan telah menutup al-Quran dan kitab hadis dan meletakkannya dalam peti besi bersalut aluminium berharga RM200 lalu menguncinya dengan mangga yang beratnya satu kilogram lalu meletakkannya dalam almari yang disimpan dalam bilik rahsia di sebalik dinding ruang makan yang dicat hitam. Nah!

Isnin, 24 Januari 2011

Jalan Kami; Facebook

Biarpun kami tetap menjadi seorang pengguna daripada jutaan pengguna laman sosial Facebook, tidak bermakna kami menyokong. Kami hanya ingin menjadi saksi kedungungan remaja-remaja Islam kita -termasuk mahasiswa-mahasiswinya- yang menjadikan dunia Facebook sebagai dunia mereka yang menjadi tempat mereka mengisi luang-luang masa -malah masa-masa penting pun- mereka.
a
Kami tidak lagi suga bercakap banyak, cukuplah kami nyatakan bahawa berseronok dengan Facebook bukanlah gaya hidup seorang yang bermaruah. Lihatlah bagaimana perempuan -bakal-bakal isteri kita- sudah hilang malunya apabila berfacebook. Mereka pamerkan wajah mereka.
a
Untuk apa?
a
Untuk siapa?
a
Untuk sang suami yang belum wujud lagi?
a
Atau untuk syaitan?!
a
Jawablah hai gadis-gadis yang cerdik lagi pandai lagi jelita dan menawan kalbu!
a
Mereka juga tanpa segan 'bertepuk tampar' dengan kawan-kawan lelaki. Lelaki pun sama.
a
Sama-sama bodoh!
a
Selain itu, Facebook telah menghabiskan banyak masa kita selain menjadikan kita hilang tsiqah. Segala perbualan kita dapat dibaca oleh orang lain. Gurau senda kita dengan rakan taulan diketahui oleh orang ramai. Kita menjadi bahan bacaan seperti Berita Harian dan Metro Ahad!
a
Aduhai, umatku, umatku.
a
Apa yang lepas, biarkan ia pergi. Yang penting, kita insaf dan beristighfar. Kembalilah kepada Tuhan, cahaya kehidupan, rahsia bahagia di dunia, akhirat kekal selamanya pada Allah, Allah.

Jumaat, 21 Januari 2011

Hanya untuk-Mu


And everything we do
We dedicate to You
Cause You made us
We are for You.

Dan apa-apa yang kami lakukan;
Kami dedikasikan buat-Mu;
Kerana Engkau jadikan kami;
Kami adalah untuk-Mu.

Rabu, 19 Januari 2011

Anjuran Memulakan Kerja-kerja Seharian dengan Basmalah


Basmalah adalah singkatan kepada bismillahirrahmanirrahim begitu juga dengan hamdalah menjadi singkatan kepada alhamdulillah. Ayuh kita jadikan basmalah sebagai pemula kerja-kerja seharian kita. Inilah jalan kita sebagai hamba. Inilah juga jalan kami.

Isnin, 17 Januari 2011

Di Kota Amman II

Lagi sekali menyua kitab di kota
Bermula dengan langkahan bersahaja
Kuhayunkan kaki masuk ke sana
Tidak tertahan geramku pada mereka
Empunya kitab-kitab nilaian permata
Akhirnya kuambil sepikul untuk dibawa
Pulang ke Mu'tah jauh di desa
Kugantikan dengan sepuluh kali lima
Mata duit dinar yang menyesakkan dada
Tapi kerana hati ini sangat cinta
Kepada kitab-kitab pendahulu kita
Tidak kusanggup pulang begitu sahaja
Tanpa membawa buah tangan dari kota
Buah tangan yang amat berharga
Aku tahu aku bukanlah orang kaya
Tapi aku bukanlah orang papa
PemberianTuhan jangan jadi sia-sia
Ada sedikit mestilah diguna
Untuk taburkan sedikit jasa
Buat umat buat agama.

Khamis, 13 Januari 2011

Pengenalan Matan al-Ghayah wa al-Taqrib


Matan al-Ghayah wa al-Taqrib atau Matan Abi Syuja’ karya Imam Abu Syuja’ Ahmad bin al-Husain bin Ahmad al-Ashfahani adalah ringkasan fiqh mazhab Syafi’i yang terkenal. Al-Azhar telah menjadikan kitab al-Iqna’ fi Hall Alfadzh Abi Syuja’ karangan Imam al-Khathib al-Syirbini yang merupakan syarah kepada Matan Abi Syuja’ tadi sebagai sukatan pelajaran bagi pelajar peringkat sekolah.

Imam Abu Syuja’ telah mempelajari mazhab Syafi’i lebih dari 40 tahun. Imam al-Silfi berkata: beliau adalah antara orang-orang yang tunggal (dari segi kehebatan, kepandaian, ketokohan, dan sebagainya) pada zamannya. Abu Syuja’ telah diberi umur yang panjang sehinggakan al-‘Allamah al-Dairabi pun mengatakan bahawa beliau pernah hidup selama 160 tahun. Beliau meninggal di al-Madinah al-Munawwarah pada tahun 593 Hijrah.

Matan Abi Syuja’ telah disyarah oleh ramai ulama. Antaranya:
- Abu Bakr bin Muhammad al-Hushni (829 H) dengan kitab Kifayah al-Akhyar
- Ahmad al-Akhshashi (889 H); Syarh Mukhtahsar Abi Syuja’
- Muhammad bin Qasim al-Ghazzi (918 H); Fath al-Qarib al-Mujib
- Ahmad bin Muhammad al-Manufi (931 H); al-Iqna’
- Waliyy al-Din al-Bashir (972 H); al-Nihayah fi Syarh al-Ghayah
- Al-Khathib al-Syarbini; telah disebutkan
- Ahmad bin al-Qasim al-‘Abbadi (994 H); Kasyf al-Ghaffar bi Kasyf Mukhabba’at Ghayah al-Ikhtishar.

Rujukan: pendahuluan Mukhtashar Abi Syuja’ al-Musamma Matan al-Ghayah wa al-Taqrib fi al-Fiqh al-Syafi’i oleh Imam Abu Syuja’, cetakan ketiga, tahun 1428H/2007M, Dar al-Salam, Mesir.

Jalan Ini II


Kaki ini
Kakiku ini melangkah lagi
Tapi kali ini longlai tampaknya
Tidak kemas cengkam tapaknya.
a
Jalan ini makin payah
Sementara diriku makin goyah.

Khamis, 6 Januari 2011

Penjara Mu'tah

Aku seorang banduan
Di penjara tanpa kawat duri
Tiada pegawai dan pagar besi
Namanya aneh sekali;
Penjara Mu’tah.

Benar
Aku kini dipenjara
Aku kini terpenjara
Penjara sengsara
Tanpa bicara
Tiga tahun lamanya
Insya-Allah akan bebas semula.

Di sini
Aku dipaksa masuk bilik darjah
Setiap hari; seminggu lima hari
Aku dipaksa belek nota dan kitab
Jika tidak, lama lagi aku di sini
Aku dihasut 'belajar itu untuk ijazah'
Aku didesak cari gah dan markah
Nama biar terpampang di lauhah
Jawablah soalan nanti dipuji pensyarah
Mu’addal mestilah tinggi menerjah
Mari beradu tenaga siapa lebih gagah
Siapakah yang lebih rajin bermutalaah?

Di sini juga
Aku dikelilingi syaitan-syaitan
Syaitan berpakaian tetapi telanjang
Di kiri kanan; depan dan belakang
Jembalang merupa perempuan jalang
Pedihnya menahan mataku yang bujang!

Di sini juga
Aku dikawal ketat
Sembunyi-sembunyi menyelak kitab
Kitab-kitab yang aku gemari
Karangan asli ulama jauhari
Tanganku juga bagaikan tergari
Jari-jemari tidak bebas menari
Meluahkan rasa dari dalam diri
Menyusun kalam buat sahabat
Selepas ibu bapa insan terdekat,
Ummah dan umat manusia sejagat
Tangan-tangan ayuh saling berjabat
Mara ke depan jadi umat yang hebat
Islam kita julang kufur kita tambat
Amerika kita terajang Israel kita rembat!

Aku masih terpenjara
Menunggu saat dibebaskan
Bebas merdeka dari penjara ini.

Rabu, 5 Januari 2011

Anjuran Solat Berjemaah di Masjid


“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat; serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat; dan tidak takut melainkan kepada Allah; (dengan adanya sifat-sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” [Surah al-Taubah, ayat ke-18]

Solat berjemaah di masjid selain merupakan sunnah Rasulullah shallahu'alaihiwasallam adalah manhaj hidup Islam. Meninggalkan amalan ini bererti meninggalkan sunnah dan menyimpang dari manhaj sebenar. Hanya kerana hukum solat berjemaah di masjid adalah sunnah mu’akkadah dan fardu kifayah di sisi mazhab, kita mengambil ringan amalan yang diambil berat oleh murid-murid Rasulullah shallahu'alaihiwasallam ini.
a
Ibnu Mas’ud RA pernah berkata: barangsiapa suka untuk menemui Allah pada esok hari sebagai seorang Muslim maka hendaklah ia menjaga solat-solat fardu tersebut (dengan mengerjakannya) di tempat-tempat seruan itu dilaungkan (iaitu masjid); oleh sebab Allah telah mensyariatkan jalan-jalan petunjuk (sunan al-huda) dan solat lima waktu (di masjid) itu termasuk di dalam jalan-jalan petunjuk itu. Sekiranya kalian mengerjakan solat di rumah sebagaimana orang-orang yang meninggalkan solat berjemaah di masjid itu sudah bermakna kalian telah meninggalkan sunnah Nabi kalian (SAW) dan seandainya kalian meninggalkan sunnah Nabi kalian bermakna kalian sudah sesat. [Muslim (1520)]
a
Kesungguhan para sahabat RA menjaga jalan petunjuk ini dapat dilihat bagaimana sebahagian atau kesemua mereka menganggap tidak sah solat bersendirian di rumah tanpa keuzuran. Al-Imam al-Tirmidzi berkata: telah diriwayatkan daripada bukan seorang sahabat Nabi shalahu'alaihiwasallam bahawa mereka berkata “sesiapa yang mendengar azan tetapi tidak menjawabnya (iaitu dengan mendatangi masjid), tidak ada solat baginya.” [Sunan; kitab 2, bab 50]
a
Hadis Nabi shallahu'alaihiwasallam yang mafhumnya berbunyi: solatnya seorang lelaki secara berjemaah, (fadilat, pahala, dan sebagainya) berlipat kali ganda berbanding solatnya di rumah atau di pasarnya sebanyak 25 kali ganda; [Al-Bukhari (247) dan Muslim (1538)] kerap kita dengari. Namun, malangnya, kita menganggap hadis ini semata-mata sebagai menyatakan kelebihan dan tidak lebih dari itu!
a
Baginda Rasulullah shallahu'alaihiwasallam telah menunjukkan kepada kita manhaj Islam dengan perbuatannya sendiri. Sudah banyak kali kita dengar bahawa baginda shallahu'alaihiwasallam tidak pernah meninggalkan solat berjemaah kecuali ketika baginda teramat-amat sakit sehingga memaksa Saidina Abu Bakr RA menggantikan beliau sebagai imam. Ini adalah jalan hidup seorang Muslim.
a
Pada zaman Rasulullah shallahu'alaihiwasallam, tidak ada sahabat yang tidak berjemaah di masjid. Jika ada, mungkin sahabat itu sakit. Jika tidak sakit, sudah pasti ia bukan sahabat tetapi seorang munafik yang jelas-jelas kemunafikannya. Bahkan, sahabat yang sedang sakit pun sedaya upaya cuba masuk ke dalam saf dengan dipapah oleh sahabat-sahabat yang lain. [Lihat: Muslim (1519)] Nah, di manakah kita dari manhaj mereka?
a
Kata Saidina ‘Ali bin Abu Thalib RA: tiada solat bagi tetangga masjid melainkan di masjid. Beliau ditanya “siapakah tetangga masjid itu?” Jawabnya: orang-orang yang mendengar azan. [Mushannaf Ibnu Abi Syaibah (3488)]
a
Benar kata-kata yang disandarkan kepada Saidina 'Ali ini. Rasulullah shallahu'alaihiwasallam sendiri tidak mengizinkan 'Abd Allah bin Umm Maktum RA yang buta untuk solat di rumah sahaja kerana tidak ada orang yang dapat membawanya ke masjid. Baginda bertanya (mafhumnya) "adakah engkau mendengar azan?" Jawab Ibnu Umm Maktum RA "ya" lalu baginda menjawab (mafhumnya): maka, wajib (ke masjid). [Lihat: Muslim (1518)]
a
Lihatlah, bagaimana sahabat yang tidak mampu melihat ini pun disuruh oleh baginda ke masjid semata-mata kerana jarak rumahnya mampu mendengarkan azan. Bagaimana pula dengan kita? Jauhnya kita daripada petunjuk baginda shallahu'alaihiwasallam. Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa kita sebenarnya telah sesat sebagaimana kata Ibnu Mas'ud kerana meninggalkan jalan-jalan petunjuk ini.
a
Usahlah bermain dengan hukum dengan berkata "solat berjemaah di masjid hukumnya sunat mu'akkad." Umpama orang yang mendengar lagu dan muzik siang dan malam berkata "dengar lagu hukumnya harus selagi tidak melalaikan solat." Ramai manusia-manusa begini pada hari ini, mereka menduga mereka lebih faqih daripada para sahabat RA. Mereka pun barangkali menyangka bahawa para sahabat RA jahil hukum fiqh sehingga para sahabat sentiasa melazimi masjid dan meninggalkan muzik! Malangnya, 'mereka' bukan sahaja mat-mat rempit dan kawan-kawan, malah ribuan bakal-bakal ustaz di seluruh dunia!
J
Jadi, jom ikut Rasul shallahu'alaihiwasallam dan jom ikut sahabat RA; dan jom kita ke masjid!
a

Selasa, 4 Januari 2011

Pendahuluan Syarah Hadis ke-1987 Sunan Al-Tirmidzi

Sebagaimana yang telah disebutkan dalam kajian kami ke atas sanad hadis ke-1987 Sunan al-Tirmidzi yang diterbitkan pada bulan Disember tahun lepas, kami berpendapat bahawa sanad-sanad hadis ini adalah dha’if. Hadis dha’if walaupun tidak boleh digunakan untuk berhujah dalam perkara-perkara akidah dan hukum, boleh digunakan dalam beberapa perkara tertentu seperti dalam menyatakan kelebihan amalan, tempat, dan sebagainya.

Seperkara yang tidak boleh diambil remeh, hadis dha’if yang digunakan tersebut tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam secara jazam atau pasti. Jadi, hadis dha’if hendaklah dikemukakan dengan shighah tamridh untuk menunjukkan kelemahan penyandarannya kepada baginda. Contohnya shighah tamridh ialah, diriwayatkan daripada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam hadis sekian-sekian.

Perkara ini masyhur disebutkan oleh para ulama hadis. Di sini, kami senaraikan tiga syarat untuk beramal atau menggunakan hadis dha’if yang kami simpulkan daripada keterangan para ulama iaitu:
- Kedha’ifan tidak terlalu kuat
- Mafhum atau makna hadis termasuk di bawah perkara yang telah tsabit di sisi agama dan tidak bertentangan dengan perkara-perkara tersebut.
-Tidak dijadikan i’tiqad bahawa hadis tersebut tsabit daripada Rasulullah shallahu’alaihiwasalam.

Berbalik kepada perbincangan tentang hadis ke-1987 tadi, hadis ini tidak boleh disandarkan kepada Rasulullah shallahu’alaihiwasallam secara jazam kerana kelemahan sanad-sanadnya. Kedha’ifan hadis ini tidaklah terlalu kuat dan kandungannya seperti anjuran supaya bertakwa, berbuat baik, dan sebagainya sudah tsabit melalui dalil-dalil al-Quran dan sunnah. Oleh sebab itu, kami mendapati para ulama termasuk al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali yang telah mendha’ifkan hadis ini telah menghuraikan hadis ini secara panjang lebar dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Haditsa min Jawami’ al-Kalim, kitab syarah hadis 40 dengan tambahan sepuluh hadis lain.

Berikutan itu, kami tidak merasa keberatan untuk mensyarahkan hadis ini berdasarkan huraian-huraian para ulama. Lagipun, hadis ini sangat masyhur di sisi ulama dan penuntut ilmu agama kerana hadis ini termasuk dalam 40 hadis usul agama yang dikumpulkan oleh al-Imam al-Nawawi sehingga memudahkan kami mendapatkan banyak syarah alim-ulama yang bertebaran di sana-sini. Hadis ini adalah hadis ke-18 dalam senarai hadis 40 tersebut. Kami bercita-cita untuk menghadamkan keempat-empat puluh hadis tersebut dengan tambahan 10 hadis lain seperti dalam kitab al-Imam Ibnu Rajab.
a
Sekian mukadimah kami sebelum syarah hadis ini. Tujuan kami menulis mukadimah ini adalah untuk mengelakkan salah faham dalam kalangan pembaca mengapa kami tetap mensyarahkan hadis ini meskipun kami menganggapnya dha'if.
v
Wassalam.