Jumaat, 17 Disember 2010

Tafsiran 'Membeli Lahw Al-Hadits' dalam Ayat Keenam Surah Luqman


وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِينٌ* وَإِذَا تُتْلَى عَلَيْهِ آيَاتُنَا وَلَّى مُسْتَكْبِرًا كَأَنْ لَمْ يَسْمَعْهَا كَأَنَّ فِي أُذُنَيْهِ وَقْرًا فَبَشِّرْهُ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Terjemahan: dan ada di antara manusia, orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang akibatnya menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan. Dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah ia dengan angkuhnya, seolah-olah ada penyumbat dalam kedua-dua telinganya; maka bergembiralah ia dengan balasan azab yang tidak terperi sakitnya. [Ayat keenam dan ketujuh, Surah Luqman] [Rujukan: Tafsir Pimpinan al-Rahman oleh Sheikh Abdullah Basmeih, Darul Fikir, Kuala Lumpur, cetakan kesebelas tahun 2000, hal. 1074]

Selepas diterangkan perihal keadaan orang-orang yang beriman pada awal Surah Luqman, disusuli pula perihal orang-orang yang ingkar. Sifat orang-orang yang ingkar yang disebutkan oleh Allah itu adalah menolak untuk mendengar ayat-ayat al-Quran dengan rasa angkuh dan sombong; malah ia menggantikan al-Quran dengan ‘lahw al-hadits’.

Persoalannya di sini, apakah yang dimaksudkan dengan يشتري لهو الحديث atau ‘membeli lahw al-hadits’?
a
Menurut sebahagian mufassirin dalam kalangan sahabat dan tabi’in, yang dimaksudkan dengan membeli lahw al-hadits adalah memilih untuk mendengar dan menggemarinya sambil menolak untuk mendengar, mempelajari, dan mengamalkan al-Quran; iaitu ‘membeli’ secara majazi. Sebahagian ahli tafsir pula berpendapat bahawa ‘membeli’ yang dimaksudkan di sini adalah membeli alat-alat lahw al-hadits dan mendengarnya; iaitu ‘membeli’ secara haqiqah. Ada kemungkinan juga kedua-dua pandangan ini sebenarnya berasal dari pandangan yang sama iaitu semata-mata mendengar lahw al-hadits sama ada dengan membelinya atau tidak.
a
Persoalan kedua, apakah yang dimaksudkan dengan lahw al-hadits yang dicela sesiapa yang mendengarnya dalam ayat tersebut? Sebahagian besar ulama terdahulu berpandangan lahw al-hadits adalah nyanyian dan hiburan-hiburan yang seumpamanya.

Ibnu Mas’ud RA pernah ditanya tentang maksud lahw al-hadits, jawabnya:

هو الغناء, والذي لا إله إلا هو

Ia adalah nyanyian, demi yang tidak ada tuhan selain-Nya. [Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, jil. 6 hal. 306, al-Maktabah al-Syamilah versi 3.35; Al-Mustadrak oleh al-Hakim, jil 2 hal. 445, al-Maktabah al-Syamilah. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Dzahabi]

Ibnu ‘Abbas RA pula menerangkan lahw al-hadits:

الغناء وشراء المغنية

Nyanyian dan membeli penyanyi wanita.

Beliau juga pernah berkata mengenai lahw al-hadits ini:

الغناء وأشباهه
Nyanyian dan perkara-perkara sepertinya.
[Al-Adab al-Mufrad oleh al-Bukhari, hal 274, al-Maktabah al-Syamilah; disahihkan oleh al-Albani]

Mujahid RA pula menafsirkan lahw al-hadits sebagai:

هو الغناء, والغناء منه والاستماع له

Ia adalah nyanyian, dan nyanyian termasuk di dalamnya, juga mendengarnya. [Mushannaf Ibnu Abi Syaibah, jil. 6 hal. 306, al-Maktabah al-Syamilah]

Beliau juga berkata:

هو الغناء وكل لعب لهو

Ia adalah nyanyian dan setiap permainan yang melalaikan. [Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an oleh al-Thabari, jil. 20 hal. 129, al-Maktabah al-Syamilah]

Antara ulama yang menafsirkan lahw al-hadits sebagai nyanyian dan perkara-perkara yang hiburan dan permainan seumpamanya adalah Jabir, ‘Ikrimah, Sa’id bin Jubair, Makhul, ‘Amr bin Syu’aib, dan ‘Ali bin Badzimah. [Tafsir al-Qur’an al-‘Adzhim oleh Ibnu Katsir, jil. 6, hal 331, al-Maktabah al-Syamilah]

Pandangan kedua adalah bahawa lahw al-hadits merujuk kepada setiap perkataan yang menghalang pendengarnya daripada mendengar dan memahami al-Quran; serta mengikut ajarannya. Dengan makna lain, lahw al-hadits tidak khusus pada nyanyian dan hiburan semata-mata, malah mencakupi setiap perkara yang melalaikan seseorang itu daripada manhaj hidup seorang Muslim.

Inilah pandangan al-Imam Ibnu Jarir al-Thabari. Katanya: dan pandangan yang benar dalam perkara ini adalah bahawa yang dimaksudkan dengannya adalah setiap perkataan yang melalaikan daripada jalan Allah berupa perkara-perkara yang dilarang oleh Allah atau rasul-Nya untuk mendengarnya kerana Allah ta’ala menyebut lahw al-hadits secara umum dan tidak mengkhususkannya dengan sesuatu perkara. Oleh sebab itu, lahw al-hadits kekal dengan keumumannya sehingga datang sesuatu yang mengkhususkannya. [Jami’ al-Bayan oleh al-Thabari, jil. 20 hal. 130]

Ada kemungkinan, inilah makna yang dimaksudkan oleh pendapat pertama yang dinukilkan daripada Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, dan Mujahid; hanya sahaja mereka menyebut ‘nyanyian’ secara jelas melihatkan keadaan yang berlaku pada zaman mereka. Berkemungkinan juga, mereka mendapati sabab al-nuzul ayat ini ada kaitan dengan nyanyian.
a
Selain dua pandangan ini, terdapat beberapa pandangan lain seperti al-Dhahhak yang menafsirkan lahw al-hadits sebagai syirik. Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan