Jumaat, 17 Disember 2010

Tafsiran Ayat ke-90 Surah Al-Ma'idah

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Terjemahan: wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, memuja berhala, dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan; oleh sebab itu, jauhilah perkara-perkara itu supaya kamu berjaya. [Ayat ke-90, Surah al-Ma’idah] [Rujukan: Tafsir Pimpinan al-Rahman oleh Sheikh Abdullah Basmeih, Darul Fikir, Kuala Lumpur, cetakan kesebelas tahun 2000, hal. 274]

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ
(Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala, dan anak-anak panah yang digunakan untuk mengundi nasib adalah kotor)
Tafsiran: wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya benda yang memabukkan, pertaruhan, menyembah berhala, serta mengundi nasib adalah perkara perbuatan yang kotor dan keji.

Al-khamr: arak; dan semua jenis benda yang memabukkan dan mengkhayalkan tidak kira dibuat daripada bahan apa sekalipun.

Al-maisir: judi; dan semua jenis pertaruhan.

Al-anshab: jamak al-nashb atau al-nushub; setiap berhala yang ditegakkan dan disembah. Al-Anshab sebenarnya merujuk kepada berhala-berhala yang diletakkan di sekitar atau sekililing Kaabah dan disembah. Orang-orang musyrik menyembelih haiwan korban di atas nama berhala-berhala tersebut. Sila rujuk ayat keempat Surah al-Ma'idah.

Al-azlam: jamak al-zalam; merujuk kepada anak panah yang tidak berbulu. Digunakan untuk mengundi nasib pada zaman Jahiliyyah di sisi tukang tilik atau berhala. Contohnya, apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu, ia akan menulis pada batang-batang kayu tersebut perkataan suruhan atau larangan dan meletakkannya dalam bekas. Kemudian, ia mencabut salah satu batang kayu tersebut. Sekiranya ia mendapat batang kayu berisi suruhan ia akan melakukan perkara tersebut, jika tidak, ia tidak melakukannya.
b
Al-Azlam boleh diluaskan tafsirannya dengan makna semua jenis perbuatan mengundi nasib.

Rijs: kotor, keji, dan buruk secara fizikal atau maknawi.

Insya-Allah, kami akan menyambung tafsiran baki ayat ini serta membincangkan maksud rijs sama ada memberi erti najis atau sekadar kotor tetapi bukan najis. Wallahu'alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan