Sabtu, 25 Disember 2010

Lanjutan Tafsir Ayat ke-90 Surah Al-Ma'idah; Persoalan tentang Kenajisan Arak Menurut Al-Qurthubi dan al-Syanqithi

Dalam ayat ke-90 Surah al-Ma’idah, kami telah bawakan perbincangan mengenai tafsiran ayat secara ringkas (rujuk: http://alkutawi.blogspot.com/2010/12/tafsir-ayat-ke-90-surah-al-maidah.html) dan masih berbaki persoalan rijs, adakah memberi maksud bahawa semua perkara yang disebutkan dalam ayat itu kotor dan najis secara hakiki atau sekadar maknawi.
a
Dalam ayat tersebut, ada empat perkara yang disebutkan iaitu arak, judi, berhala, dan batang anak patah. Berdasarkan keterangan al-Syaikh Muhammad al-Amin al-Syanqithi, meninggal pada 1393 Hijrah dalam kitab tafsirnya yang masyhur, Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, difahami bahawa persoalan ini hanya berlaku pada arak sahaja kerana tiga benda lain itu telah dikhususkan dengan nas dan ijmak yang menunjukkan kenajisannya hanya sekadar maknawi. Ulama dalam masalah arak ini telah berselisih pandangan. Jumhur ulama -menurut al-Qurthubi- berpendapat bahawa arak adalah najis secara hakiki atau ‘ain; dan maknawi. Sekolompok ulama pula berpandangan sebaliknya. Antaranya Rabi’ah, al-Laits bin Sa’d, al-Muzani -murid al-Imam al-Syafi'i-, ulama-ulama Baghdad, dan Qurawiyyun yang muta’akhkhirin -mengikut zaman al-Qurthubi yang hidup pada kurun ketujuh yang menukilkan perkara ini- yang berpendapat bahawa arak suci, harus digunakan dan yang haramnya hanyalah meminumnya.
a
Antara hujah jumhur ulama adalah perkataan rijs yang menunjukkan kotor dan najisnya sesuatu yang disifatkan dengannya. Selain itu, dalam ayat yang sama, Allah taala memberi arahan supaya menjauhi perkara-perkara rijs itu yang memberi maksud arak tidak boleh digunakan dan adalah najis ‘ain. Bagi mereka, judi, berhala, dan batang anak panah meskipun turut disifatkan dengan rijs dan diarahkan supaya dijauhi, ketiga-ketiga perkara itu tetap suci ‘ainnya kerana telah dikhususkan oleh nas dan ijmak seperti yang telah disebutkan. Menurut al-Syaikh al-Syanqithi, oleh sebab arak tidak ada nas dan hasil ijmak yang mengkhususkannya dan mengeluarkan dari hukum asal sebagaimana yang difahami daripada ayat ke-90 tadi, maka arak tetap dengan hukum asalnya.
a
Seperti mana yang telah diketahui umum, khamr yang disebutkan dalam ayat tersebut diluaskan pengertiannya dengan semua benda yang memabuk dan mengkhayalkan. Jadi, hukum najis kepada arak turut dikenakan ke atas semua benda yang memabukkan. Demikianlah mengikut al-Syaikh al-Syanqithi yang menghukum najis kepada pewangi cologne dan baginya, tidak harus solat dengannya. Sementara itu, kami, al-Kutawi masih belum merajihkan mana-mana pendapat.
a
Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan