Jumaat, 24 Disember 2010

Kajian ke atas Sanad Hadis ke-1987 dalam Sunan Al-Tirmidzi

اتَّقِ اللَّهَ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Terjemahan: bertakwalah kepada Allah di mana sahaja engkau berada, susulilah perbuatan buruk dengan perbuatan baik pasti perbuatan baik itu akan menghapuskan perbuatan buruk itu, dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.

[Diriwayatkan oleh al-Tirmidzi (1987) dengan lafaznya dan katanya: hasan shahih; Ahmad (21392), (21441), (21576), (22112); al-Hakim (178); al-Bazzar (4022), dan lain-lain daripada Abu Dzarr, Mu’adz bin Jabal, dan Anas. Disahihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Dzahabi dan dihasankan pula oleh al-Albani dan Syu’aib al-Arna’uth]
a
Hadis ini diriwayatkan dengan beberapa jalan -iaitu daripada Sufyan bin al-Tsauri, Muhammad bin Katsir, Abu Maryam, Laits bin Abu Sulaim, Hammad bin Syu'aib, dan lain-lain- daripada Habib bin Abu Tsabit daripada Maimun bin Abu Syabib yang meriwayatkan daripada Abu Dzarr, Mu'adz, dan secara mursal.
a
Berkenaan sanad hadis ini, al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, meninggal pada 795 Hijrah berkomentar: maka, hadis ini isnadnya diperselisihkan. Ada dikatakan bahawa diriwayatkan daripada Habib daripada Maimun bahawa Rasulullah shallahu’alaihiwasallam mewasiatkannya dengan hadis tersebut. Al-Daraquthni pula merajihkan kemursalannya.
a
Al-Tirmidzi telah menghasankan hadis ini dan apa yang terdapat pada sesetengah naskah berupa pentashihannya, amat jauh sekali. Tetapi, al-Hakim telah mengeluarkannya dan berkata “sahih berdasarkan syarat al-Bukhari dan Muslim." Kata-katanya itu adalah silap kerana dua sebab. Pertama, Maimun bin Abu Syabib -dan dikatakan, Ibnu Syabib- riwayatnya tidak pernah dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam kitab Shahihnya, tidak pula Muslim kecuali dalam mukadimah kitabnya sebuah hadis daripada al-Mughirah bin Syu’bah. Kedua, Maimun bin Abu Syabib tidak sahih sima’nya daripada mana-mana sahabat… [Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam fi Syarh Khamsin Haditsa min Jawami’ al-Kalim, Dar al-Hasan, cetakan pertama tahun 2007, hal. 196]
a
Kesimpulan daripada petikan di atas, al-Imam Ibnu Rajab menganggap hadis ini munqathi' kerana menurutnya, sima'nya daripada sahabat tidak sahih.
a
Al-Daraquthni pula menurut Ibnu Rajab merajihkan kemursalannya. Katanya: diriwayatkan oleh Habib bin Abu Tsabit tetapi diperselisihkan riwayat daripadanya maka Hammad bin Syu’aib, Laits bin Abu Sulaim, dan Isma’il bin Muslim al-Makki meriwayatkannya daripada Habib daripada Maimun daripada Mu’adz. Juga diperselisihkan riwayat daripada al-Tsauri maka Waki’ meriwayatkannya daripada al-Tsauri daripada Habib daripada Maimun daripada Mu’adz.
a
Sejumlah rawi memursalkan riwayat daripada Waki’ dan tidak menyebutkan nama Mu’adz dalam sanadnya. Demikian juga yang diriwayatkan oleh Abu Sinan daripada Habib bin Abu Tsabit daripada Maimun secara mursal. Dikatakan juga bahawa daripada al-Tsauri daripada Habib daripada Maimun daripada Abu Dzarr. Abu Maryam ‘Abd al-Ghaffar meriwayatkan daripada al-Hakam bin ‘Utaibah daripada Maimun daripada Mu’adz dan rawi-rawi lain meriwayatkan daripada al-Hakam secara mursal daripada Nabi shallahu’alaihiwasallam dan mursal lebih dekat dengan kebenaran. [Al-‘Ilal wa al-Maudhu’at wa al-Wahiyat, al-Maktabah Syamilah versi 3.35, jil. 6 hal. 72]
a
Kesimpulan daripada petikan di atas, al-Daraquthni telah memursalkan hadis tersebut.
a
Bagi al-Syaikh al-Albani pula, sanad hadis ini munqathi’ walaupun beliau tidak memandangnya sebagai mursal. Jelasnya: dan sanad hadis itu dengan kedua-dua bentuknya (iaitu daripada Abu Dzarr dan daripada Mu’adz- al-Kutawi) adalah terputus kerana Maimun tidak pernah mendengar daripada Mu’adz dan Abu Dzarr sebagaimana yang telah aku terangkan dalam kitab al-Raudh al-Nadhir. [Al-Silsilah al-Shahihah, al-Maktabah al-Syamilah, hil. 3 hal. 447]

Sebenarnya, al-Syaikh al-Albani dalam banyak tempat lain berpendapat bahawa hadis ini hasan. Kami tidak tahu sama ada beliau memaksudkan hasan di sini hasan li dzatih atau hasan li ghairih. Wallahua’lam.
a
Kesimpulan tentang sanad hadis ini berdasarkan kajian kami: pertama, sanad-sanad hadis ini berpunca daripada Habib bin Abu Tsabit daripada Maimun bin Abu Syabib dengan jalan rawi-rawi tsiqah. Kedua, Maimun bin Tsabit ada meriwayatkan hadis ini daripada Abu Dzarr dan Mu’adz; sementara dalam beberapa riwayat pula beliau memursalkan hadis ini. Ketiga, sanad hadis ini berkemungkinan tidak bersambung kerana Maimun tidak pernah mendengar hadis daripada para sahabat mengikut sesetengah ulama.
a
Kami, al-Kutawi lebih suka untuk mengatakan bahawa sanad hadis ini mudhtharib atau dha’if; akan tetapi, kami tidak menafikan matan dan makna hadis ini yang memang ada diriwayatkan dalam riwayat-riwayat lain dan masyhur di sisi salaf sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Imam Ibnu Rajab al-Hanbali dalam syarahnya ke atas hadis ini dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam.
a
Sesetengah ulama memandang sahih atau hasan hadis ini. Jika benar hadis ini sahih atau hasan, maka hadis ini diriwayatkan oleh Maimun daripada siapa sebenarnya? Daripada Abu Dzarr ataupun daripada Mu’adz bin Jabal? Atau mungkin riwayat Maimun yang mursal yang lebih sahih sebagaimana pendapat al-Daraquthni dan al-Baihaqi? Jika Maimun benar telah meriwayatkan daripada Abu Dzarr atau Mu’adz atau kedua-duanya sekali, bagaimana dengan kata-kata ulama yang mengatakan bahawa beliau tidak pernah bertemu Abu Dzarr seperti kata Abu Hatim al-Razi; dan Mu’adz seperti kata Ibnu Rajab, bahkan beliau dikatakan tidak pernah meriwayatkan daripada mana-mana sahabat menurut al-Fallas? Jika benar beliau tidak meriwayatkan daripada Abu Dzarr dan Mu’adz, daripada siapakah beliau riwayatkan hadis ini? Daripada tabi’in yang tsiqah atau dha’if? Atau lebih tepatnya kita katakan hadis ini mudhtharib sebagaimana yang disandarkan kepada Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam Hidayah al-Ruwwah?
a
Inilah jalan kami.
a
Wallahua’lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan