Selasa, 21 Disember 2010

Aku Ingin Kembali

Jauh aku pergi
Kembara seorang diri
Kesik; sepi, dan sunyi
Berbagai dunia baru diteroka
Berbilang tanah baru kubuka
Dan usiaku kini kemuncak pancaroba
Musimku kini musim tengkujuh melanda!

Aku sedari
Aku hayati
Aku amati
Bahawa makin lama jalan ini kulangkah
Bahawa makin lama dunia ini kuterjah
Makin bertambah jarakku dari fitrah
Makin bertambah jauhku dari Allah!

Aku rindu saatku menjadi bayi
Semasa didakap erat ibu mithali
Ditimang-timang tinggi-tinggi
Aku kenangi zaman kanak-kanak
Riang bermain tembak-tembak
Berkejaran dengan anak-anak;
Aku tidak mahu menjadi dewasa
Benar, dewasa bererti besar sasa
Lidah pula fasih tajam berbisa
Berpuisi dengan khazanah bahasa
Benar, dewasa bererti mampu berjasa
Kepada agama, nusa, juga bangsa
Namun, dewasa bererti berdosa
Mengutip bara untuk diseksa
Aku tak mahu menjadi dewasa
Tapi siapakah mampu menyekat masa?
Maka aku pun dah jadi dewasa.

Aku rindu menjadi bayi
Waktu abah mencium pipi
Membelikan daku kereta mini
Banyaknya mainanku penuh di sisi
Disimpan elok dalam almari;
Menghadap kartun setiap pagi
Ultraman, Doraemon, dan banyak lagi
Kakak ketawa geli hati
Jumaat ke Jalan Dato' Pati;
Beralaskan akhbar bersela kaki
Untuk dengar ceramah bersiri
Oleh Tok Guru pemimpin sejati;
Mengenal huruf kitab suci
Sambil menyanyi menghafal ABC
Dihiburi nasyid ‘Sayang-sayang Ummi’
Ibu ceritakan kisah Nabi
Warnakan buku warna-warni
Aduh, rindu sekali!

Aku ingin takut pada Ilahi
Aku ingin cinta pada Nabi
Aku ingin jadi askar
Aku ingin jadi pendekar
Aku ingin masuk syurga
Aku ingin jauh dari neraka
Seperti aku kala kecil-kecil mula;
Aku ingin kembali
Menjadi bayi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan