Jumaat, 1 Jun 2012

Bidadari Tiada di Dunia II


Kukatakan berkali-kali
Bidadari tiada di sini
Usah degil mencari
Puteri berwajah bahari
Disorok di balik selendang
Tanpa sanggul nan terjulang
Srikandi bermata permata
Merunduk tika putera tiba
Tiada potret di kitab wajah
Di sesawang atau majalah
Sungguh ia benar menduga
Bahawa dirinya barang berharga
Tidak sesekali akan menyerah
Harga diri dan maruah
Meski dihamun atau dimaki
Atau dibunuh lalu mati!

Rabu, 30 Mei 2012

Mendedahkan Keaiban Diri


Diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu'alaihiwasallam bahawa katanya:

كُلُّ أَمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللهِ عَنْه.

Terjemahan: setiap orang daripada umatku akan diampunkan kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosa-dosa mereka) dan termasuk dalam kegilaan seorang lelaki melakukan dosa pada waktu malam kemudian berpagi dalam keadaan Allah menyembunyikan dosanya itu lalu ia berkata "wahai fulan, semalam aku lakukan sekian-sekian" sedangkan dia tidur dalam keadaan Tuhan telah menghijab keaiban tersebut tetapi dia bangun pagi dengan membuka hijab Allah itu. [Al-Bukhari (6069)]

Daripada hadis di atas, jelaslah bahawa membuka keaiban diri termasuk dalam perkara-perkara yang dimurkai Allah. Membuka keaiban bukanlah dengan maksud seseorang itu menceritakan dosa dan kemungkaran yang telah dilakukannya kepada orang lain sahaja malah meliputi tindakan melakukan perkara mungkar di khalayak umum bahkan itulah yang lebih buruk dan dahsyat kerana dengan melakukan kemungkaran di hadapan manusia lain, seseorang itu telah menghina syariat Allah secara terang-terangan selain menunjukkan bahawa dirinya berani terhadap azab seksa yang dijanjikan-Nya. Pada masa yang sama, perbuatan tersebut membuktikan bahawa dirinya sudah tidak ada rasa malu sedangkan malu sebahagian daripada iman. Tanpa disedari juga, dia sedang mengempen kepada orang ramai supaya mengikuti jejak langkahnya. Saham dosa yang berlipat ganda akan memenuhi akaun bank akhirat anda!

Oleh sebab itu, cubalah untuk menjauhi dosa dan kemungkaran. Sekiranya tidak mampu, lakukan secara sembunyi dan jangan sekali-sekali dedahkan perbuatan menzalimi diri sendiri itu kepada orang lain. Wallahua'lam.

Selasa, 29 Mei 2012

Syarah Shahih al-Bukhari; Kitab Permulaan Wahyu

Menjadi kebiasaan ulama silam membahagikan kitab hadis kepada bahagian-bahagian besar yang diberi nama 'kitab'. Kitab pula dipecahkan kepada bahagian-bahagian kecil bernama 'bab'. Imam al-Bukhari memulakan kitab beliau dengan bahagian:
كِتابُ بَدْءِ الوَحْي
Terjemahan: Kitab Permulaan Wahyu.

Perkataan بَدْء bermaksud permulaan. Qadhi 'Iyadh pula menukilkan riwayat kedua dengan perkataan ّبُدُو yang ertinya kemunculan. Tetapi menurut Ibnu Hajar: aku tidak mendapatinya tercatat dalam satu riwayat pun yang sampai kepada kami. [Fath al-Bari; Maktabah Dar al-Salam; cet. ketiga 1421 H; jil. 1, hal. 12] Lantas beliau merajihkan riwayat pertama kerana terdapat riwayat dengan jelas menyebut: كيف كان ابتداء الوحي; yang bermaksud 'bagaimanakah keadaan permulaan wahyu'. Imam al-Bukhari sendiri banyak menggunakan kalimah بَدْء ini seperti ketika menyatakan tentang permulaan haid, azan, dan penciptaan.

Wahyu dari segi bahasanya ialah:
الإعلام في خفاء
Terjemahan: pemberitahuan dalam keadaan senyap, sembunyi, dan tidak jelas.

Wahyu juga bermaksud penulisan, tulisan, pengutusan, ilham, arahan, isyarat, dan sebagainya. Di sisi syarak, wahyu bermaksud:
الإعلام بالشرع
Terjemahan: pemberitahuan tentang syariat.

Wahyu sebenarnya mashdar atau kata terbitan daripada fi'l atau kata kerja وَحَى. Jadi, maksud sebenarnya adalah perbuatan memberitahu tentang syariat. Tetapi, wahyu difahami dengan makna ism maf'ul yang memberi maksud apa yang diberitahu tentang syariat itu.

Muhammad bin Isma'il al-Taimi mengkritik tajuk yang dikemukakan oleh Imam al-Bukhari ini kerana menurutnya adalah lebih baik kalau Imam al-Bukhari meletakkan 'Bagaimanakah Keadaan Wahyu' sebagai tajuk kerana isi bahagian ini bercakap tentang wahyu secara umum bukan tentang permulaan wahyu semata. Jawab Imam Ibnu Hajar al-'Asqalani, permulaan wahyu yang dimaksudkan oleh Imam al-Bukhari meliputi hal-ehwal yang berkaitan dengannya. Tidak khusus berkenaan permulaan sahaja.

Ahad, 27 Mei 2012

Catatan Ringkas pada Artikel Syaitan Watak Manusia

Imam al-Dzahabi, antara murid besar Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyah radhiyallahu'anhu dalam Siyar A'lam al-Nubala berkata:

وَلَوْ أَنَّا كلَّمَا أَخْطَأَ إِمَامٌ فِي اجْتِهَادِهِ فِي آحَادِ المَسَائِلِ خَطَأً مَغْفُوراً لَهُ، قُمْنَا عَلَيْهِ، وَبدَّعْنَاهُ، وَهَجَرْنَاهُ، لَمَا سَلِمَ مَعَنَا لاَ ابْنَ نَصْرٍ، وَلاَ ابْنَ مَنْدَةَ، وَلاَ مَنْ هُوَ أَكْبَرُ مِنْهُمَا،

Terjemahan: dan kita kalau setiap kali seseorang imam itu tersilap dalam ijtihadnya dalam satu-satu masalah dengan kesilapan yang dapat dimaafkan kita terus menentang, membid'ahkan, dan memulau mereka, maka tidak terselamat seorang pun bersama kita, tidak Ibnu Nashr dan tidak Ibnu Mandah, juga tidak orang yang lebih besar daripada mereka berdua... [Jil. 27, hal. 38]

Katanya juga:

وَلَوْ أَنَّ كُلَّ مَنْ أَخْطَأَ فِي اجْتِهَادِهِ - مَعَ صِحَّةِ إِيْمَانِهِ، وَتَوَخِّيْهِ لاتِّبَاعِ الحَقِّ - أَهْدَرْنَاهُ، وَبَدَّعنَاهُ، لَقَلَّ مَنْ يَسلَمُ مِنَ الأَئِمَّةِ مَعَنَا،

Terjemahan: sekiranya setiap orang yang benar imannya dan ikhlas niatnya mencari kebenaran silap dalam ijtihadnya kita hina dan bid'ahkannya, bererti sedikitlah ulama yang terselamat daripadanya... [Jil. 14, hal. 376]

[Demikianlah dua kalimat daripada Imam al-Dzahabi yang dipetik oleh Syaikh 'Ali bin Hasan al-Halabi, murid besar Syaikh Muhammad Nashir al-Din al-Albani dalam kitabnya Shadd al-Tasyni' bi Radd Ma Shadara 'an Syaikh Rabi' min al-Isqath wa al-Tabdi' yang ditulis khusus untuk mempertahankan dirinya daripada pembid'ahan oleh Syaikh Rabi' bin Hadi al-Madkhali, seorang ulama besar Arab Saudi. Lihat: hal. 27]

Saya tidak mampu mengulas panjang mengenai kontroversi yang tercetus akibat penyiaran makalah 'Syaitan Watak Manusia' tulisan Ustaz Radzi Othman, sekretariat ILMU dalam akhbar Metro khususnya apabila menyentuh tokoh-tokoh Ikhwan al-Muslimin seperti Syaikh Hasan al-Banna, Syed Quthub, Muhammad al-Ghazali, dan Yusuf al-Qaradhawi. Saya hanya mampu mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh Imam al-Dzahabi dan menambah: sesungguhnya ada kebenaran di sebalik kata-kata Ustaz Radzi Othman di samping kejelekannya tetapi kerana Ustaz Radzi tidak sabar dan gopoh, beliau mengeluarkannya tidak tepat pada masanya sehingga khalayak terus menganggapnya batil. Secara jujurnya saya bersetuju bahawa kebanyakan tokoh Ikhwan terpengaruh dengan idea liberalisasi sebagaimana jelas dalam kenyataan dan fatwa-fatwa mereka tetapi untuk mengatakan mereka adalah liberalis dan sesat secara total amat jauh dari kebenaran.

Setiap ulama pasti ada silap dan salahnya. Tetapi ulama tetap ulama. Letakkan kesalahan pada tempatnya dan kebaikan pada tempatnya. Apabila mengritik seseorang, janganlah dibutakan mata daripada melihat jasa dan sumbangannya sehingga membuatkan krtitikan itu menjadi keterlaluan. Tirulah manhaj Syaikh al-Islam dan ulama-ulama dari madrasah beliau bagaimana mereka mengkritik ulama. Mereka tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan mereka hatta ulama-ulama Mu'tazilah dan Asya'irah yang memusuhi dan dimusuhi mereka. Kebatilan dan kebenaran diletakkan di tempat masing-masing. Inilah mutiara yang hilang daripada ramai ulama Salafiyyah zaman ini.

Seterusnya, saya nasihatkan kepada penulis, Ustaz Radzi supaya berhati-hati mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan Ikhwan al-Muslimin dan tokoh-tokohnya kerana kesilapan dalam berdakwah boleh membantutkan lagi dakwah kepada al-Quran dan sunnah. Ingat, dakwah kepada al-Quran dan sunnah adalah dakwah yang panjang maka janganlah dipanjangkan lagi. Wallahua'lam.

Isnin, 21 Mei 2012

Bersama Arab Saudi


Kedengaran riuh rendah dalam kalangan siswi-siswi Malaysia Mu'tah bahawa mereka akan berpeluang untuk mengerjakan umrah pada pertengahan tahun ini. Tahun lepas, mereka tidak dapat ke sana disebabkan kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana wanita masuk ke negaranya tanpa mahram. Namun, pada tahun ini, khabarnya mereka mencuba sekali lagi dengan menguruskan proses kemasukan ke Saudi melalui Malaysia. Pun tidak berjaya.

Sesetengah kalangan menyalahkan kerajaan Saudi kerana terlampau keras dan jumud dalam memegangi pendapat yang mengharamkan wanita bermusafir tanpa mahram sehingga menghalang wanita-wanita Islam daripada mengerjakan haji dan umrah. Mereka juga menuduh ulama-ulama Saudi berfahaman literalisme sehingga memahami nas mengikut zahiriah sahaja tanpa melihat kepada konteks. Mereka juga dikecam kerana melarang wanita daripada memandu. Begitu juga mereka dikritik kerana tidak membenarkan masyarakat menegur kerajaan secara terbuka.

Saya berasa terpanggil untuk memberikan sedikit ulasan mengenai isu ini. Hakikatnya, negara Saudi adalah sebuah negara yang layak dipanggil negara Islam kerana mengamalkan sistem pemerintahan berdasarkan Islam. Pada pandangan saya, kerajaan Saudi pada zaman sekarang berhak untuk dianggap sebagai sisa khilafah Islam yang diakhiri dengan kejatuhan kerajaan 'Utsmaniyyah di Turki pada tahun 1923 hanya sahaja disebabkan kerajaan Saudi tidak dapat menakluk negara-negara lain seperti yang dilakukan oleh kerajaan 'Utsmaniyyah kerana sistem negara bangsa yang menghadkan satu-satu sempadan kepada mana-mana negara menghalang perluasan kuasa tersebut.

Hari ini, negara Saudi menerima banyak kritikan termasuklah berkenaan hubungan rapatnya dengan Barat. Selain itu, Arab Saudi juga dikecam kerana membiarkan Palestin, Afghanistan, Iraq, dan negara-negara sekitar dimamah musuh. Pada saya, semua ini tidak menafikan keislaman kerajaan Saudi. Semua kerajaan hatta kerajaan yang diagung-agungkan oleh para haraki, 'Utsmaniyyah pun tidak terlepas daripada kelemahan. Jika disebabkan wujudnya beberapa masalah Saudi dikritik teruk sehingga ada yang berharap agar kerajaan Saudi digulingkan melalui revolusi, bererti mereka tidak mengambil iktibar daripada peristiwa 1923 itu. Mereka ingin memunculkan Kamal Ataturk kedua yang kali ini menjatuhkan kerajaan Islam di tanah haram.

Pada masa yang sama, Arab Saudi dikritik kerana mengamalkan pegangan agama yang keras dan bersifat konservatif. Pada saya, apa yang diamalkan oleh Saudi adalah Islam yang benar dan sebenar. Tetapi, disebabkan umat Islam mula dirasuk dengan pemikiran Barat yang liberal atau moderat, ajaran Islam yang sebenar dianggap konservatif. Golongan ini meskipun pada zahirnya memperjuangkan Islam sebenarnya gagal memerdekakan diri daripada dihasut oleh ideologi-idelogi Barat yang menyelubungi diri.

Saya mengatakan demikian kerana banyak perkara yang diamalkan oleh kerajaan Saudi sebenarnya diamalkan juga oleh kerajaan-kerajaan Islam lain. Contohnya, mewajibkan pemakaian purdah dalam kalangan pelajar-pelajar perempuan. Perkara ini dikritik oleh Syaikh Yusuf al-Qaradhawi dan diikuti oleh pengagumnya, Dr. Asri Zainal Abidin kerana menurut mereka, terlalu ketat. Walhal, umat Islam zaman-berzaman di bawah pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam dahulu sebagaimana yang disebut dalam kitab-kitab fikah dan hadis menerima baik amalan ini.

Adapun isu larangan masuk ke negara tersebut bagi wanita tanpa mahram bukanlah satu perkara yang perlu dipertikaikan. Setiap negara mempunyai undang-undang sendiri dan larangan ini berdasarkan undang-undang Saudi yang digubal oleh para ulama setempat dengan merujuk kepada hukum syarak. Apatah lagi, larangan ini adalah pandangan jumhur ulama termasuk ulama-ulama mazhab Syafi'i yang diamalkan di Malaysia. Mazhab Syafi'i yang membenarkan wanita bermusafir tanpa mahram untuk haji wajib. Tetapi, disebabkan hukum ini tidak dipraktikkan di Malaysia, umat Islam di sana seakan-akan menganggapnya sebagai satu bid'ah yang diada-adakan dalam agama. Mereka tidak sedar bahawa mereka jahil.

Berkenaan larangan memandu bagi wanita di sana, sebenarnya larangan ini diakui oleh para ulama Saudi sebagai berdasarkan sebab-sebab luar bukan kerana Islam memang tidak membenarkan wanita memandu. Mereka mengeluarkan larangan ini berdasarkan keperluan setempat yang menuntut supaya golongan wanita dihadkan pergerakan mereka supaya tidak terlampau bebas. Fatwa ini berdasarkan keadaan sosial di Saudi itu sendiri sekali gus menolak dakwaan bahawa ulama-ulama Saudi sebagai literalis kerana seandainya mereka literalis pasti mereka akan membenarkan wanita memandu kerana wanita sememangnya diharuskan memandu berdasarkan nas. Sama seperti masalah wanita keluar ke masjid, Siti 'A'isyah radhiyallahu'anha memilih untuk melarang berdasarkan waqi' walaupun nas mengharuskannya. Kata beliau:
لَوْ أَدْرَكَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم مَا أَحْدَثَ النِّسَاءُ لَمَنَعَهُنَّ كَمَا مُنِعَتْ نِسَاءُ بَنِي إِسْرَائِيلَ
Kalaulah Rasulullah shallahu’alaihiwasallam tahu apa yang dilakukan oleh wanita (pada zaman sekarang, zaman beliau) pasti baginda akan melarang mereka (daripada ke masjid) sebagaimana dilarangnya wanita Bani Isra’il. [Al-Bukhari (869)]

Tentang isu menegur kerajaan secara terbuka pula, masyarakat perlu faham bahawa Malaysia tidak sama seperti Saudi. Saudi negara bersistem monarki sedangkan Malaysia bersistem demokrasi. Kalau kita membenarkan rakyat menegur atau bahkan membuka keaiban pemimpin di Malaysia sudah tentu untuk meraih sokongan daripada masyarakat kerana kuasa ada pada tangan mereka. Di sana, rakyat berfungsi sebagai hakim yang perlu disampaikan maklumat yang lengkap kepadanya untuk membuat penilaian dan seterusnya menjatuhkan hukuman kepada mana-mana pihak yang bersalah. Lain pula halnya dengan Saudi, apa fungsinya membenarkan rakyat mengkritik kerajaan secara terbuka? Adakah untuk menunjukkan kita rakyat yang hebat dan mempunyai pemikiran yang kritis dan lantang lalu dijadikan tokoh pembela masyarakat? Adakah juga untuk menjatuhkan kerajaan Saudi dan menukarkannya dengan kerajaan Amerika atau Iran?

Ulama-ulama Saudi bukannya tidak mengkritik, menasihati, dan membimbing kerajaan mereka ke arah kebaikan. Mereka memang melakukannya tetapi dengan cara yang lebih sopan dan beradab. Kerajaan mereka tidak sama seperti kerajaan kita yang terang-terangan memperlekehkan Islam. Ulama-ulama Saudi tidak perlu menjadi seperti ulama-ulama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang lantang mengkritik kerajaan Malaysia. Agama kita bukan demokrasi sehingga memaksa semua orang mengikut cara demokrasi. Agama kita Islam. Demokrasi hanya kerana darurat. Darurat pula diukur mengikut kadarnya. Dakwah kita, dakwah mereka, masing-masing ada cara masing-masing sesuai dengan keadaan setempat. Satu kesilapan besar bagi mereka yang menyamakannya.

Jumaat, 18 Mei 2012

Syarah Shahih al-Bukhari: Basmalah

Imam al-Bukhari memulakan kitab sahihnya dengan bismilahirrahmanirrahim (ejaan Kamus Dewan). Ucapan yang diterjemahkan sebagai ‘dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani’ oleh Sheikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman dipanggil sebagai ‘basmalah’ dalam bahasa Arab. Sama seperti al-hamdu li Allah sebagai hamdalah, la haula wa la quwwah illa bi Allah sebagai hauqalah, dan adama Allah ‘izzak sebagai da’mazah sebagaimana yang dikenali sebagai naht di sisi ulama sharaf.

Anehnya, Imam al-Bukhari yang meninggal dunia pada 256 Hijrah memulakan kitabnya hanya dengan basmalah tanpa hamdalah atau tasyahhud walhal ada hadis menyebutkan:

كُلُّ كَلاَمٍ لاَ يُبْدَأُ فِيهِ بِالْحَمْدُ لِلَّهِ فَهُوَ أَجْذَمُ.
Terjemahan: setiap ucapan yang tidak dimulakan dengan alhamdulillah adalah kudung.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan lain-lain daripada Abu Hurairah radhiyallahu’anhu dengan lafaz Abu Dawud (no. 4842). Sebelum itu, perlu diketahui bahawa para ulama apabila menyebutkan ‘dengan lafaz si fulan’ ertinya hadis tersebut diriwayatkan dengan banyak lafaz yang berbeza-beza dan lafaz yang disebut adalah daripada si fulan yang dinyatakan itu. Sebagai makluman, hadis tersebut sebenarnya datang juga dengan menyebut basmalah, syahadah, dan zikr menggantikan hamdalah sebagaimana dalam lafaz yang disebutkan di atas.

Para ulama cuba menjawab persoalan ini dengan mengemukakan beberapa jawapan. Antaranya, hadis itu tidak sahih atau sahih tetapi tidak menepati syarat Imam al-Bukhari. Jadi, Imam al-Bukhari tidak mengamalkan hadis tersebut. Berkenaan hadis yang disebutkan tadi, para ulama berselisih pendapat dalam menentukan darjatnya. Kata Abu al-‘Ula al-Mubarakfuri, datuk Shafiyy al-Din al-Mubarakfuri pengarang al-Rahiq al-Makkhtum dalam syarah Sunan al-Tirmidzi: para ulama berselisih tentang hadis tersebut. Sebahagiannya mendha’ifkannya seperti Ibnu Hajar. Sebahagian menghasankannya. Sebahagian lagi pula menyahihkannya. Kata al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qari “hadis sahih, disahihkan oleh Ibnu Hibban dan Abu ‘Awanah. Sa’id bin ‘Abd al-‘Aziz telah memutaba’ah Qurrah sebagaimana yang dikeluarkan oleh al-Nasa’i. [Dar al-Faiha’ 1432 H; jil. 1, hal. 14]

Kami rasa Ibnu Hajar menghasankan hadis tersebut, bukan mendha’ifkannya sebagai yang disebut oleh al-Mubarakfuri. Sebab, kata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari:

والجواب عن الثاني أن الحديثين ليسا على شرطه بل في كل منهما مقال؛ سلمنا صلاحيتها للحجة لكن ليس...
Terjemahan: dan jawapan ke atas kritikan kedua adalah bahawa kedua-dua hadis itu bukan di atas syaratnya malah kedua-duanya ada dikritik. Kita menerima keupayaannya untuk dijadikan hujah tetapi bukanlah... [Dar al-Hadits 1423 H; jil. 1, hal. 9]

Lihat, jelas beliau menganggap hadis ini hasan kerana boleh dijadikan hujah menurutnya sedangkan hadis dha’if tidak layak untuk berdalil dengannya.

Sebagai tambahan, antara yang turut sama menerima hadis ini sebagai sahih atau hasan adalah Imam al-Nawawi dan al-Subki. Syaikh al-Albani pula telah memanjangkan kalamnya ke atas hadis dalam Irwa’ al-Ghalil dan kesimpulan yang dibuat oleh beliau, hadis dha’if. Demikian juga kesimpulan yang didapati oleh para penyemak Shahih Ibnu Hibban yang diketuai oleh Syaikh Syu’aib al-Arna’uth. Kata mereka: ... dan hadis sebagaimana yang diisyaratkan oleh beliau (al-Nawawi) dikeluarkan oleh Abu ‘Awanah dalam Shahihnya dan disahihkan oleh Ibnu Hibban juga. Terdapat kritikan di dalam sanadnya. Jika diandaikan hadis tersebut sahih, maka riwayat yang masyhur adalah dengan lafaz alhamdulillah dan lafaz-lafaz selainnya yang disebutkan oleh al-Nawawi diriwayatkan dalam sesetengah jalan periwayatan dengan sanad-sanad yang rapuh. [Mu’assasah al-Risalah; nota kaki jil. 1, hal. 173]

Menurut kata-kata mereka, lafaz yang masyhur adalah lafaz hamdalah. Jadi, tinggal persoalan mengapa Imam al-Bukhari tidak menyebut hamdalah sebaliknya berpada dengan basmalah dalam makam ini? Jawapannya, begitu jugalah keadaannya dengan kebanyakan surah dalam al-Quran yang hanya berpada dengan basmalah tanpa hamdalah. Begitu juga dengan amalan Rasulullah shallallahu’alaihiwasallam dalam surat-surat baginda. Kami rasa, inilah jawapan yang kuat bagi pihak Imam al-Bukhari. Di sana ada jawapan-jawapan lain sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam al-Fath tetapi kiranya padanlah dengan jawapan yang kukuh ini. Wallahua'lam.

Isnin, 14 Mei 2012

Membincangkan Dalil Kenajisan Arak

Termasuk dalam senarai benda-benda yang diperselisihkan kenajisannya adalah arak. Arak adalah benda-benda cair yang memabukkan. Di sisi jumhur ulama, ulama-ulama Hanafi, Maliki, Syafi’i, dan Hanbali, arak adalah najis. Rabi’ah guru Imam Malik, al-Laits bin Sa’d, al-Muzani murid Imam al-Syafi’i, dan segolongan ulama pula berpendapat sebaliknya.

Syaikh Wahbah al-Zuhaili menyebutkan dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh:
الخمر نجسة عند أكثر العلماء لقوله تعالى (( إنما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان )) وقال بعض المحدثين بطهارتها. والخمر تشمل كل مسكر مائع عند الجمهور والمعتمد عند الحنفية.
Terjemahan: arak najis di sisi kebanyakan ulama berdasarkan firman Allah taala: sesungguhnya arak, judi, berhala, dan anak-anak panah (yang digunakan untuk menenung nasib) adalah kotor daripada amalan syaitan. [ayat ke-90, surah al-Ma’idah] Sebahagian ahli hadis menganggapnya sebagai suci. Arak merangkumi semua benda cair yang memabukkan di sisi jumhur dan pendapat yang muktamad di sisi ulama-ulama mazhab Hanafi.

Menerusi penerangan Syaikh Wahbah di atas, jelas menunjukkan para ulama menjadikan ayat yang ke-90 dalam Surah al-Ma’idah sebagai dalil kenajisan arak. Hujah mereka, Allah taala menyebut arak sebagai rijs iaitu benda kotor. Ertinya, arak najis.

Akan tetapi, pendalilan dengan menggunakan ayat ini tidak kuat kerana kalau dikatakan arak najis kerana Allah menyebutnya rijs, maka judi, berhala, dan anak-anak panah pun dikira najis juga kerana semua itu disebut dalam ayat yang sama. Akan tetapi, jumhur ulama menjawab, sebenarnya semua benda yang disebut itu najis kerana masing-masing adalah rijs. Tetapi, disebabkan judi itu bersifat ma’nawi dan ‘amali bukan hissi dan ‘aini, maka kenajisan judi hanya secara ma’nawi. Berhala dan anak-anak panah pula tidak dianggap najis hissi berdasarkan ijmak. Jadi, bakinya, arak kekal dengan hukum asalnya iaitu najis hissi.

Jawapan tersebut masih tidak kemas kerana menurut dilalah al-aqran, arak menurut hukum benda-benda lain yang disebut bersamanya dalam ayat. Benda-benda itu tidak najis secara hissi dan ‘aini, jadi arak pun sama. Meskipun berhala dan anak panah terkeluar daripada dinajiskan secara hissi kerana ijmak, tidak bermakna dilalah al-aqran terbatal kerana dilalah al-aqran memang menjadikan hukum aqrannya sebagai petunjuk hukumnya dan dilalah al-aqran yang paling kemas adalah dilalah al-aqran yang sabit melalui ijmak.

Walau bagaimanapun, jumhur ulama berdalilkan pula dengan firman Allah dalam ayat yang sama:
فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.
Mafhumnya: maka, jauhilah ia semoga kalian berjaya.

Kata mereka, Allah memerintahkan kita menjauhi semua yang disebut tadi sedangkan arak termasuk di dalamnya. Ertinya, arak bukan sahaja tidak boleh diminum malah tidak boleh juga didekati. Ertinya, arak najis.

Hujah ini tertolak sama seperti sebelumnya kerana jika arak dikira najis kerana dilarang daripada mendekatinya, maka begitu jugalah berhala dan anak panah. Tetapi, tidak ada seorang pun yang berpendapat bahawa berhala dan anak panah adalah najis.

Selain itu, jumhur ulama merujuk pula ayat ke-21, surah al-Insan sebagai dalil. Firman Allah taala:
وَسَقَاهُمْ رَبُّهُمْ شَرَابًا طَهُورًا
Mafhumnya: dan Tuhan mereka memberi mereka minum minuman yang suci lagi menyucikan.
Kata mereka, ertinya arak di dunia najis kerana Allah menjadikan kesucian arak di syurga sebagai ganjaran kepada penghuni-penghuni syurga.

Tetapi, dalil ini juga tidak kuat kerana tidak dipastikan secara jelas apakah minuman yang dimaksudkan dalam ayat tersebut. Barangkali arak, barangkali juga bukan arak. Mengikut kaedah ‘apabila terdapat kebarangkalian, gugurlah pendalilan’.

Jumhur ulama juga berdalilkan dengan hadis Abu Tsa’labah al-Khusyani yang berbunyi:
أن النبي صلى الله عليه وسلم أمر برحض آنية أهل الكتاب لما قال له: إنهم يشربون فيها الخمر ويطبخون فيها لحم الخنزير.
Terjemahan: sesungguhnya Nabi shallallahu’alaihiwasallam menyuruh supaya bekas-bekas ahli kitab dibersihkan apabila dikatakan kepada baginda “sesungguhnya mereka meminum arak dan memasak daging khinzir di dalamnya.”

Dalil ini juga tidak jelas untuk digunakan dalam masalah ini kerana tidak dipastikan apakah sebab baginda mengarahkan agar bekas-bekas itu dibasuh; kerana arak atau daging khinzir? Syaikh Shalih bin ‘Ali al-Syamrani pula mempunyai jawapan lain. Katanya: dan jawapan bagi hadis Abu Tsa’labah adalah bahawa yang dimaksudkan adalah menghilangkan kesan benda-benda yang diharamkan memakannya dan tidak semestinya pengharaman itu disebabkan kenajisan.

Selain itu, pandangan kenajisan arak juga boleh dikatakan berasal daripada pendapat yang menganggap pengharaman memakan sesuatu benda adalah disebabkan kenajisannya seperti bangkai. Sebenarnya pendapat ini tidak kukuh kerana di sana terdapat benda yang diharamkan memakannya tetapi tidak najis seperti air mani dan racun. Selain itu, ‘illah keharaman sesuatu benda berbeza-beza mengikut keadaan benda itu sendiri. Arak diharamkan kerana memabukkan, bukan kerana najis.

Menerusi perbincangan dalil-dalil kenajisan arak, jelas bahawa tidak ada dalil yang kuat yang menyokong pendapat tersebut. Oleh sebab itu, arak kembali kepada hukum asalnya iaitu suci kerana setiap asal bagi setiap benda adalah suci sehingga ada dalil yang mengubahnya. Inilah pendapat yang lebih rajih berdasarkan kaedah-kaedah fiqh yang muktabar.

Di samping itu, sekiranya arak tetap dianggap sebagai najis, bermakna alkohol dan dadah juga najis kerana masing-masing mempunyai ‘illah yang sama. Bayangkan bagaimanakah kita hendak minum ubat kalau ubat itu sendiri najis kerana mengandungi alkohol atau dadah?

Mungkin ada yang akan menjawab, kita minum ubat kerana darurat, al-dharurat tubih al-mahdzhurat. Soalnya, macam mana kalau ubat itu terjatuh, tertumpah, dan terkena baju? Adakah kita perlu membasuhnya untuk menunaikan solat?!

Jika dijawab, ubat walaupun mengandungi alkohol dan dadah tidak najis kerana diharuskan memakannya apabila perlu. Baik, adakah arak jika perlu diminum atau dicampurkan dalam sesuatu adunan sebagai ubat juga menjadi tidak najis?